Wednesday, December 1, 2010

RAMAI TIDAK SEDAR BAHAYA MAKANAN YANG DISIMPAN LAMA

GEORGE TOWN: Kesedaran mengenai bahaya Mikotoksin masih rendah apabila ramai di kalangan rakyat negara ini tidak menyedari makanan yang dimakan mungkin dicemari bahan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Persidangan Antarabangsa Mikotoksin, Prof Baharuddin Salleh berkata Mikotoksin, iaitu sejenis racun atau toksin, terhasil daripada kulat yang tumbuh pada makanan dan hasil pertanian.

"Contohnya roti atau makanan lain yang kita simpan lama dan ditumbuhi kulat, kulat berkenaan akan menghasilkan Mikotoksin dan jika kita memakan makanan itu, ia boleh mengakibatkan kesan jangka panjang terhadap kesihatan," katanya kepada pemberita selepas perasmian persidangan itu di sini hari ini.

Baharuddin, yang juga pensyarah Pusat Pengajian Sains Biologi, Universiti Sains Malaysia berkata apa yang membimbangkan ialah racun berkenaan mempunyai sifat yang tahan panas dan akumulatif.

"Bila kita masak pun ia tidak akan musnah dan apabila ia berada dalam mana-mana organ badan kita, ia akan membiak dari masa ke masa hingga mengakibatkan kerosakan pada organ berkenaan," katanya.

Baharuddin berkata, sesetengah kulat itu menghasilkan mikotoksin yang sangat berbahaya yang dinamakan aflatoksin.Katanya manusia yang memakan makanan yang mengandungi aflatoksin boleh menghidapi kerosakan hati dan barah hati.

Selain itu, katanya Mikotoksin juga boleh didapati dalam susu dan daging binatang ternakan yang memakan makanan yang dicemari racun itu.

"Pengambilan susu dan daging yang dicemari Mikotoksin itu turun membahayakan kesihatan," katanya.

Oleh itu, beliau berkata, orang ramai perlu menyimpan makanan dengan baik bagi mengelak daripada dicemari kulat yang menghasilkan Mikotoksin.


Credit to: Sahabat Alam maya

0 comments:

Post a Comment